Pages

Friday, December 31, 2010

Jika Malaysia Mampu Berkata-kata ~

 Bagaimana kita melihat negara kita, Malaysia, adakah sebagai satu lokasi di peta bumi atau satu sistem kerajaan?
  Mungkin cara pandangan terhadap negara menyebabkan kurangnya sifat patriotik dalam kalangan masyarakat negara ini.
  Tidak perlu bercakap mengenai berjuang untuk negara di medan perang; bukan patriotik itu yang dimaksudkan. Tetapi lebih kepada kehidupan seharian. Di mana kita membuang sampah setiap hari? Ke luar tingkap kereta dan mengotorkan jalan raya?
  Adakah kita membersihkan kembali kawasan pantai atau hutan selepas berkelah dan melakukan perkhemahan atau longgokan sampah itu dibiarkan hingga mengundang lalat dan ulat?
  Bayangkan Malaysia sebagai sesuatu yang mempunyai perasaan. Apa perasaan Malaysia apabila melihat kita mengotorkannya? Apa perasaaannya bila melihat kita tidak bersatu padu, bergaduh sesama sendiri, baik dari segi politik atau sosial?
  Apa pula perasaannya apabila melihat anak kelahiran tanah air ini enggan pulang ke pangkuannya dan memilih untuk menetap di luar negara selepas berjaya, tanpa sedikitpun memikirkan mengenai Malaysia yang setia bersama pada masa kesusahan?
  Memang ia BERHAK BERASA TERSINGGUNG. Masakan tidak, hampir 1.5 juta anak-anaknya kini yang bergelar profesional lari ke luar negara dan lebih sanggup mencurahkan kemahiran di negara asing daripada berbakti kepada negara sendiri; dan semua itu hanya kerana wang ringgit?
  Jika pun kita tidak bersetuju dengan pemerintahan atau situasi ekonomi di negara ini, mengapa tidak sama-sama berjuang memperbaiki negara yang setia bersama kita?
  Bagaimana pula dengan jutaan pekerja asing yang sanggup meredah lautan bergelora hanya semata-mata mahu mencari rezeki di Malaysia? Begitu istimewanya Malaysia di hati mereksa. Mengapa kita tidak begitu? Pernahkah kita fikirkan perasaan Malaysia?
  Mungkin juga Malaysia berkata pada dirinya: "Aku sangat bertuah, bumiku aman. Lihatlah jiran-jiranku,banyak masalah dan kerap dilanda bencana. Semestinya aku istimewa.
  Tetapi mengapa rakyatku tidak menghargai keamanan ini dan masih berebu-rebut dan bergaduh untuk menarah badanku semata-mata demi keuntungan dan kepentingan diri? Bukankah lebih baik jika mereka bersatu dan menjagaku bersama-sama?".
  Pernahkah kita fikirkan, jika Malaysia mampu berfikir dan berkata-kata, tentunya ia tertanya-tanya mengapa warga asing lebih menghargai bumi bertuah ini berbanding rakyatnya sendiri?
  Ini kerana mengikut statistik, Malaysia menjadi pilihan utama pelancong dari Jepun sejak 2006 hingga saat ini dan kebanyakan mereka tinggal di sini bagi tempoh waktu yang lama.
  Menurut Duta Jepun di Malaysia, Masahiko Horie, rakyat Jepun sukakan cuaca nyaman, makanan sedap, kos hidup yang rendah dan kestabilan politik serta sosial di Malaysia.
   Ke mana destinasi pilihan kita apabila bercuti? London? Paris? Sydney? Sudahkah kita melawat segenap bumi Malaysia sebelum memilih ke luar negara? Mengapa tidak menyumbang kepada industri pelancongan tempatan sebelum melancong ke negara lain?
   Mengapa kita tidak mampu menghargai negara sendiri seperti orang luar? Mungkin kerana kita tidak sedar apa yang dimiliki.
  Begitulah fitrah manusia, tidak tahu apa yang dimiliki sehingga terlepas daripada genggaman. Lupakah kita dengan pepatah "Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung"?

Dipetik daripada SinarHarian
Penulis : Farah Zamira Farush Khan 

0 comments:

Post a Comment